Mutiara kata

"Gunakanlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum tua,sihat sebelum sakit,kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati" (Hadis Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi)

My Teaching Goal


Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana berpeluang menjadi seorang pendidik. Sebagai seorang pendidik saya percaya bahawa semua pelajar mempunyai hak dan peluang masing-masing tanpa mengira bangsa, etnik, status sosio-ekonomi, dan latar belakang agama. Matlamat saya sebagai seorang pendidik ialah:

1)      Melengkapakan diri saya dengan pelbagai ilmu dan kemahiran terutamanya pedagogi dan teknologi pendidikan. Senantiasa memperbaiki dan meningkatkan diri sendiri.

2)      Mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Di samping itu, dapat meningkatkan taraf hidup dan kemampuan diri pelajar itu sendiri.

3)      Saya berharap pelajar-pelajar saya bukan sahaja tinggi dalam ilmu pengetahuan tetapi mampu mempraktikkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian seterusnya dapat membantu diri, keluarga dan masyarakat.

4)      Saya juga mengharapkan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan senantiasa menyeronokkan dan bermakna bagi pelajar saya. Aktiviti yang dijalankan adalah berpusatkan pelajar selain itu dapat memupuk sifat kendiri serta mengeratkan perhubungan di antara kaum di kalangan pelajar tanpa mengenal warna kulit, dan agama.

5)      Membantu rakan-rakan seperjuang dalam meningkatkan mutu kerja serta kerjaya. Menjalankan lain-lain usaha untuk mempertingkatkan budaya ilmu di kalangan pelajar, rakan dan persekitaran.

Category: 0 comments

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Category: 1 comments

REFLEKSI PENGHASILAN BLOG


 Pengalaman membuat blog merupakan satu pengalaman yang baru bagi saya. Sebelum ini saya berhasrat untuk memiliki blog saya sendiri. Tetapi disebabkan kekangan dari segi masa saya terpaksa menangguhkan hasrat saya itu terlebih dahulu. Pada mulanya saya menjangkakan terlalu sukar untuk menyiapkan sebuah blog. Dengan mengikuti kursus Teknologi dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Biologi, akhirnya saya berjaya menyiapkan blog saya sendiri secara asasnya. Bagi menyiapkan blog, saya perlu memperuntukkan sedikit masa dengan teknik cuba jaya. Dengan ini saya akan lebih memahami paparan muka yang disediakan oleh ‘blogger’. Di samping itu, bantuan daripada pensyarah, rakan dan laman sesawang ‘Youtube’ turut membantu saya menyiapkan blog saya ini. Apa yang anda perlukan untuk membuat sebuah blog ialah mempunyai akaun google terlebih dahulu.  Setelah itu anda perlu pergi ke laman sesawang ‘blogger’ dan daftar masuk. Kemudian anda hanya perlu mengikut arahan secara berperingkat. Tidak sampai 20 minit masa yang diperuntukkan bagi menyiapkan sebuah blog secara asasnya. Memiliki sebuah blog tersendiri memberikan saya satu peluang dan kelebihan. Antara peluang dan kelebihannya ialah saya dapat berinteraksi dan berkongsi pendapat dengan rakan blog yang lain mengenai sesuatu topik mahupun artikel. Ini hanya menerusi internet tanpa perlu bersemuka. Dalam pada itu, saya juga dapat berkongsi bahan bantu mengajar terutamanya subjek biologi dengan rakan blog. Menerusi blog, saya boleh memuat naik dokumen seperti ‘words’, ‘powerpoint’ dan pelbagai jenis dokumen. Saya juga boleh memuat naik gambar dan video untuk dikongsi dengan orang lain yang melayari laman blog saya. Kesimpulannya memiliki sebuah blog merupakan satu peluang dan kelebihan jika kita memanfaatnya sebaik mungkin. 
Category: 0 comments

REFLEKSI PENGGUNAAN PERISIAN LECTUREMAKER

Dalam membentuk persekitaran pengajaran dan pembelajaran secara integrasi dan kolaboratif. Penggunaan internet sahaja tidak boleh menjamin yang pelajar kita mencapai matlamat berkenaan. Bagi memastikan ia tercapai secara berkesan, pelajar mesti mendapat kemahiran pelbagai bidang merentasi kurikulum. Pelaksanaan ke arah itu memerlukan perubahan dalam amalan kita semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya kolaborasi antara guru daripada pelbagai disiplin ilmu perlu ditingkatkan lagi. Intergrasi pembelajaran merentasi kurikulum pula boleh juga melibatkan komuniti yang menjadi persekitaran kepada pendidikan tersebut. Sebagai contoh penggunaan perisian LectureMaker dapat memenuhi kriteria-kriteria tersebut. Menerusi perisian ini para pendidik yang mahir dalam bidang masing-masing dapat membina satu modul pengajaran yang efisien dan interaktif. Ini dapat dilihat dengan reka bentuk antara muka (Graphic User Interface - GUI) yang mesra pengguna. Dengan kata lain satu modul pengajaran dapat dibina dengan mudah dan cepat. Jika diteliti bentuk antara muka LectureMaker,  kita akan dapati ia mirip Microsoft Power Point. Jesteru itu, ia merupakan satu kelebihan bagi pengguna yang sudah biasa dengan Microsoft Power Point. Perisian LectureMaker menyediakan pelbagai template, design dan layout. Dalam pada itu, terdapat pelbagai butang navigasi yang menjadikan perisian ini lebih efisien serta mesra pengguna. Dengan menggunakan perisian ini, kita dapat merekod suara dan video secara langsung. Ini menunjukkan salah satu ciri interaktif  untuk menarik minat pelajar sekaligus dapat meningkatkan kefahaman pelajar itu sendiri. Bagi meningkatkan lagi tahap interaktif sesuatu modul yang dibina, perisian ini juga boleh memasukkan dan memainkan flash video. Di samping itu, perisian ini dapat mengintegrasi objek-objek multimedia dan bahan-bahan sedia ada seperti fail PowerPoint, PDF dan laman web. Modul yang telah siap dibina menggunakan perisian ini dapat disimpan dalam pelbagai bentuk format seperti Flash dan LectureMaker viewing. Dengan ini memudahkan untuk memuat naik ke laman web atau blog. Melalui pembacaan saya menerusi surat khabar yang bertarikh 28 April 2010 didapati Telekom Malaysia Bhd unit Telekom Smart School Sdn Bhd  telah melancarkan LectureMaker dalam pembangunan projek multimedia bagi meningkatkan pembelajaran e-learning. Akhir kata, perisian sebegini penting dalam meningkatkan tahap kemahiran ICT di kalangan pendidik serta memperlengkapkan diri bagi mengharungi dunia serba moden dan canggih.
Category: 0 comments

REFLEKSI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Dalam tempoh terdekat yang telah kita lalui, saya yakin kita semua sentiasa dalam kejutan kerana perubahan yang berlaku begitu drastik sekali. Dunia pendidikan kita juga tidak terkecuali daripada simbahan arus perdana perubahan ini. Pelbagai penemuan dalam ciptaan sains dan teknologi membuatkan dunia pendidikan yang begitu konservatif nampak tidak dapat bertahan lagi. Terma-terma seperti komputer, teknologi makumat, teknologi maklumat dan komunikasi, kad pintar, sekolah pintar, dan lain-lain lagi membuat kita semua akur bahawa perubahan sentiasa berlaku dan kita sebahagian daripadanya. Kita boleh memilih untuk mendahuluinya atau sentiasa bersamanya atau menjadi pemerhati dan mengikutinya dari belakang. Tepuk dada, tanya selera. Kalau kita memperkatakan tentang ICT dalam pendidikan, ramai yang berkata bahawa ia membawa impak yang besar kepada dunia pendidikan. ICT telah mengubah cara kita mengajar dan cara pelajar belajar. Selaras perkembangan semasa, kemahiran ICT menjadi kemestian bagi membolehkan guru dan pelajar kompeten.  Jika organisasi kita mempunyai infrastruktur dan infostruktur yang sesuai, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dengan berbantukan kemudahan ICT ini akan mengoptimumkan pembelajaran. Sebagai contoh pentaksiran yang disarankan dalam pelaksanaan Sekolah Bestari di Malaysia menekankan pelaksanaan secara berpusatkan murid dan megambilkira nilai, minat, sikap dan aptitud murid. Pentaksiran tidak tertumpu kepada laporan prestasi murid melalui markah atau gred sahaja, dengan menggunakan peperiksaan setara semata, tanpa mengira kebolehan individu. Pelaksanaannya tidak formal dan dilakukan secara berterusan sebagai pelengkap kepada proses pengajaran dan pembelajaran.  Pentaksiran berfokus kepada medapat maklumat berkaitan dengan perkembangan pelajar untuk memudahkan tindakan susulan. Pendidik memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian pelajar. Jesteru itu kemudahan ICT sudah menjadi satu keperluan dalam banyak bidang tugas pada masa ini. Kesungguhan bagi memastikan tiada yang ketinggalan daripada kemudahan dan perkembangannya telah ditunjukkan oleh semua pihak sama diperingkat pembuat dasar mahupun dipihak pelaksana. Oleh itu para pendidik perlu memperlengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang ada bagi mengharungi cabaran dunia ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Category: 0 comments

REFELKSI PENGGUNAAN PERISIAN SMARTBOARD

Penggunaan teknologi bilik darjah sentiasa meningkat dan berkembang. Kepentingan memperkenalkan pelajar kepada teknologi semasa adalah sebahagian daripada matlamat pendidikan dalam menyediakan mereka untuk masa depan. Salah satu kemajuan teknologi baru yang saya pelajari adalah penggunaan Smartboard untuk meningkatkan pengetahuan pelajar. Smartboard terdiri daripada komputer, perisian Smartboard, papan putih interaktif dan sebuah projektor. Smartboard menghasilkan gaya pembelajaran yang berlainan. Sebagai contoh, ia boleh menyimpan nota guru, menunjukkan video, dan membenarkan pelajar untuk meluahkan idea mereka sendiri di dalam kelas. Dengan menggunakan Smartboard, pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik dan menarik berbanding penggunaan papan putih biasa dan pen maker di sekolah. Sehubungan itu, ia dapat meningkatkan penglibatan pelajar secara aktif di bilik darjah. Dalam pada itu, pelajar boleh berkongsi kerja mereka dan melibatkan diri dalam perbincangan. Smartboard menyediakan kaedah pembelajaran secara hands-on kepada pelajar. Di samping itu, perisian ini mampu mendorong peningkatan interaksi dikalangan pelajar dan guru itu sendiri. Smartboard juga dapat membantu guru dengan menjimatkan masa daripada menulis di papan putih serta dapat menyimpan dan mencetak bahan-bahan pengajaran yang telah dibina. Selain itu, perisian ini boleh melakukan perkara-perkara yang sangat jauh berbeza dengan overhead projector tradisional. Kesimpulannya, Smartboard dapat menarik perhatian pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Menerusi penggunaan Smartboard , secara tidak langsung pelajar telah diasuh dan mereka merasa selesa menggunakan teknologi pada usia yang awal. Ini akan memudahkan mereka memahami teknologi yang canggih dan rumit masa hadapan.


Category: 0 comments

REFELKSI PENGGUNAAN PERISIAN PICASA

Dalam memantapkan kemahiran ICT bagi mengharungi pengajaran dan pembelajaran serba moden dan canggih. Beberapa contoh perisian seperti Picasa merupakan salah satu perisian Google yang sangat berkesan. Perisian ini juga boleh dimuat turun secara percuma di laman web. Perisian ini berfungsi mengatur dan mengedit koleksi gambar. Dalam pada itu, perisian ini adalah mesra pengguna dimana koleksi gambar mudah untuk dicari, diedit dan disusun. Di samping itu, gambar-gambar kegemaran boleh dimuat naik dan berkongsi dengan rakan yang lain di internet. Picasa adalah satu laman web yang mudah untuk digunakan. Saya juga boleh menyimpan backup gambar-gambar dalam talian dengan Picasa. Apa yang perlu lakukan adalah log masuk ke akaun dan kemudian klik pilihan Sync ke Web. Picasa adalah sebuah aplikasi yang sangat baik untuk pengeditan gambar. Ia sangat mudah dan cepat berbanding perisian pengeditan gambar lain seperti Adobe Photoshop. Gambar-gambar yang telah diedit boleh ditukar menjadi video dan dimasukkan audio yang digemari. Secara tidak lansung koleksi gambar yang kita miliki menjadi lebih menarik dan interaktif untuk dilihat. Dengan adanya perisian ini, saya dapat menjadikan blog saya lebih menarik serta memantapkan lagi penggunaan gambar dan video dalam perisian LectureMaker dan Smartboard.
Category: 0 comments

Mini Mikrobologi

Category: 0 comments

Quadrat Sampling

Category: 0 comments

Kini bermula

Hidup ini memerlukan pengorbanan.,
Tanpa pengorbanan tiada erti sebuah kehidupan...
Category: 2 comments