Mutiara kata

"Gunakanlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum tua,sihat sebelum sakit,kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati" (Hadis Riwayat Al-Hakim & Al-Baihaqi)

My Little Me



Assalamuwalaikum dan salam sejahtera,

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Selamat datang dan jutaan terima kasih tidak terhingga kerana mengunjungi blog saya ini. Di harap dengan terbinanya blog ini, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan seterusnya dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dengan para pembaca blog ini.

Dengan kesempatan dan peluang yang diberikan ini, moleklah saya memperkenalkan serba sedikit tentang diri saya sebagai seorang insan yang kerdil ini. Sesungguhnya saya berasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah dipilih sebagai seorang insan yang bergelar guru. Saya berpeluang mengajar di tempat kelahiran saya sendiri iaitu di Tanah Tinggi Cameron. Pengalaman mengajar  hanya 4 tahun di SMK Kampung Raja, sekolah ini terletak di banjaran Titiwangsa dan bersempadanan dengan dua buah negeri iaitu Perak dan Kelantan. Sekolah ini dikelilingi bukit bukau yang menghijau, saujana untuk mata memandang. Saya amat menyukai ilmu Biologi sejak dari kecil lagi. Ini dipengaruhi oleh faktor persekitaran saya membesar di mana tempat tinggal saya dikelilingi hutan dan di situlah tempat saya bermain. Di atas minat yang mendalam terhadap ilmu biologi, saya melanjutkan pelajaran saya dalam bidang pendidikan biologi di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan akhirnya menjadi guru biologi di sekolah.  Sebagai seorang pendidik saya rasa terpanggil untuk menyediakan dan melengkapkan diri saya dengan ilmu serta kemahiran yang ada. Sehubungan itu, saya telah menyambung pelajaran saya diperingkat Ijazah Sarjana di Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu universiti yang sama semasa diperingkat Ijazah Sarjana Muda dahulu. Blog ini merupakan salah satu kompenan bagi memenuhi tuntutan subjek SBP6024 - Technology and Innovation in Teaching and Learning Biology. Menerusi subjek ini, secara tidak lansung saya dapat menambah kemahiran ICT iaitu salah satunya membuat laman blog ini. Kemahiran ICT amat penting dalam dunia pendidikan sejajar dengan seruan kerajaan bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang dinamik dan menarik. Sebagai seorang pendidik, saya mahu sesuatu pengajaran dan pembelajaran itu menyeronokkan dan bermakna. Blog merupakan salah contoh E-learning yang berkesan untuk diterapkan di sekolah.

Akhir kata, semoga penerokaan ilmu terutamanya berkait rapat dengan teknologi pendidikan tidak berhenti di sini sahaja. Sekalung penghargaan buat keluarga, sahabat perjuangan dan pensyarah, Dr. Saadiah Binti Baharom dalam menyiapkan laman blog ini.


Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga
**********
Category: 0 comments